Begitu juga dengan Negeri Terengganu... Mungkin ramai yang belum mengenali Negeri Terengganu dari sudut sejarahnya...
Kali ini, kami akan selitkan serba sedikit lata belakang negeri Terengganu.
Menurut cerita yang dikatakan dapat didengar daripada Marhum Baginda (Sultan Umar, Sultan Terengganu yang ke sembilan memerintah 1839-1875, kononnya pada zaman dahulukala sebelum negeri ini dikenali dengan Terengganu, ada suatu rombongan dari negeri Pahang mengembara di sebelah Ulu Terengganu kerana memburu. Apabila angkatan itu sampai ke sungai Terengganu Mati, seorang daripadanya ada berjumpa sebatang taring, kata seorang di antara mereka; "Taring apakah?, jawab seorang lain " Taring anu…" kerana tidak ingat hendak menyebut namanya, dan kisah perbualan antara mereka habis begitu sahaja.
Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu ada berjumpa pula dengan seekor rusa dan dapat dibunuhnya.
Apabila orang-orang yang berjumpa rusa itu membawa balik perburuannya ke tempat perhentian mereka, maka bertanyalah masing-masing "di manakan dapat rusa itu? Jawab mereka yang berburu " di tempat taring anu".
Ada pula di antara kumpulan itu berjumpa kayu gaharu, apabila ditanya; jawabnya di tepi sungai taring anu", lama kelamaan lekatlah dipanggil nama"Terengganu".
Penulis ada juga mendengar cerita-cerita lain menyebabkan dinamakan "Terengganu". Seumpama cerita yang menyatakan asalnya daripada "Terang-nya-ganu"dan "terangnya anu" dan ada pula cerita yang menyatakan menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan"cahaya kilat yang memancar, di kaki langit" kejadian itu berlaku pada suatu malam kononya ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan, kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang di angkasa langit berhadapan dengan mereka disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat sebagai petir membelah bukit, sinar cahayanya terang-benderang itu sampai ke Kuala Terengganu, oleh kerana hendak memperingati had sempadan terangnya cahaya yang ganjil itu maka dinamakan tempat itu "Terang Ganu" kemudian manakala sudah menjadi negeri, dinamakan negeri itu "Negeri Terengganu" (terang hingga ke sana). Sama ada cerita ini benar atau tidak, belumlah dapat penyusun mengesah-kannya.
Menurut cerita yang dikemukakan oleh Dato' Kamal Wangsa Jafar bin Mampak seperti berikut pula: "Ada satu taring yang besar tidak sampai gading gajah tetapi lebih besar dari taring-taring binatang liar yang didapati di sebuah pulau yang berhampiran dengan kuala sungai iaitu Pulau Duyong.
Kerana berlainan sangat rupa taring itu, maka ketua pulau itu pun menyembahkan taring tersebut kepada Raja. Apabila Raja bertanyakan taring apa itu, dengan tergesa-gesa mereka menyembahkan "Taring anu Tuanku".
Oleh kerana pulau itu di seberang sungai Terengganu yang berhampiran dengan kualanya, maka sungai itu pun dipanggil orang sungai "Taring Anu" hingga orang-orangnya pergi ke hulu sungai pun memanggilnya sungai Taring Anu.
Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu(Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang " Ular Mayang" orang Kelantan kata "Pelangi".
Mereka pun bertanya : Di sini orang panggil apa?
Jawab orang negeri ini: "Kami panggil ganu".
Kata mereka:"terang sungguh ganu di sini".
Apabila mereka itu balik ke Kelantan, mereka pun bercerita "Negeri jiran kita bukan main terang ganu di sana serta diterangnya erti ganu itu.
Suatu kemungkinan mengenai nama Terengganu terbit dari nama sungai "Terengan timbulnya pendapat ini, setelah penulis dan rombongan Persatuan Sejarah Cawangan Terengganu, membuat lawatan ke kawasan itu pada 5 hingga 11hb. Julai 1975 serta memerhati keadaan di sekelilingnya dan letak pecahan sungai itu.
Muara sungai Terengan berpecah dua, sebelah kanan mudik menghala ke sungai Kerabat dan di sebelah kirinya Kuala Terengan dan sungai Terengganu. Terengan pada masa dahulu telah menjadi sebuah kampong di Ulu Terengganu, jaraknya dari Kuala Terengganu Mati lebih kurang 24 km atau 40 km dari Kuala Berang mengikut sungai.
Oleh kerana keadaan pecahan anak sungai sedemikian kemungkinan pada zaman dahulu orang ada bertanya dengan soalan ini: hendak ke mana? Ke Terengan…nu (sana) atau ke Terengan…ni (ini) bererti ke sungai Terengan atau ke sungai Kerbat.
Ataupun terbit dari sebutan panggilan atau pertanyaan dari penduduk-penduduk asli yang datang atau mengembara dari sebelah jalan Ulu Pahang atau Ulu kelantan yang sampai ke pecahan Ulu Sungai Terengan itu, lalu mereka pun bertanya : Ke mana hendak pergi atau hendak tuju? Ke Terengan ni atau ke Terengan….nu.
Adalah dikatakan menurut pendapat ahli-ahli kajibumi yang melawat ke sebelah Ulu Terengganu, bahawa di bahagian Ulu itu asalnya boleh dikatakan laut atau sungai besar dengan berpandukan kepada kesan-kesan dan tanda-tanda yang dijumpai, maka haruslah keadaan itu kembali masanya beribu-ribu tahun dahulu.
Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal, hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi, lahir di negeri Mesir. P) yang dipercayai diperbuat di Iskandariah ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole" Maka pelabuhan "Perimula itu dipercayai ialah "Kuala Sungai Terengganu" dan pelabuhan "Kole" ialah "Kemaman".
Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".
Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "TING CHIA HSIA LU"(Teng Ka Ha Lo di dalam bahasa Hokkein) dan TING KA HA LOU"dalam bahasa Kantonis. Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang kelima belas ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, Negeri Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Petani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.
Di dalam syair jawa yang bernama"Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu). Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang. |
Batu bersurat yang dijumpai di kampong Buloh, Kuala Berang, kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1891M) ejaannya "Terkanu".
Maka di antara nama-nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu digelar"Darul-Iman" tidaklah dapat penyusun menentukan dengan sah, tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar(Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus-Salam".
Petikan : Sejarah Darul Iman
Oleh : Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)