Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Tokku Paloh Tokoh Ulama terkenal di Terengganu...

 
Disinilah Makam Tukku Paloh, Ulama besar Terengganu pada suatu masa dahulu..



Pada abad ke-19,seorang ulama besar di kenali Tukku Paloh yang dilahirkan di Terengganu pernah membantu negeri berkenaan menghalang penjajahan British.Nama sebenarnya,Sayid Abdul Rahman bin Muhamad al-Idrus yang juga dianggap ulama kerohanian yang banyak berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu.

Dengan ketegasan dan kepintaranya dalam hal ehwal diplomatik,Tukku Paloh sering diberi peluang mewakili sultan dalam perundingan dengan British hingga kerajaan Inggeris gagal menawan Terengganu. Dalam suatu kisah,beliau dilaporkan berkata ‘Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami,saya tolak walau atas alasan apa sekali pun tetapi kalau hendak tanah, silakan. Isilah kedalam kapal tuan sebanyak mana pihak British mahu…..ambillah tanah.’ Itu adalah antara jawapan Tukku Paloh kepada wakil British ketika perundingan antara British dengan kerajaan Terengganu yang diwakilinya. Jawapan berbentuk sindiran itu diluahkan dengan tenang tetapi nyata menyakitkan hati wakil British berkenaan. Mereka lantas bangun untuk beredar tetapi dengan kuasa Allah punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi.

Apabila mereka mengangkat punggung,kerusi mereka turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Ketika itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja ‘Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil.’

Tukku Paloh yang hidup dalam zaman pemerintahan lapan sultan silih berganti dan pengaruhnya yang paling kuat ialah ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu ke 11. Dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, beliau adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W di kalangan keluarga al-Idrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein ra, anak Sayidatina Fatimah az-Zahrah ra binti Rasulullah. Tukku Paloh yang diterima sebagai penasihat pertama dan utama sultan dalam pelbagai hal itu mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa ulama tempatan sebelum mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengetahuan di Makkah.

ULAMA besar itu bukan saja arif dalam ilmu tasawuf dan tereqat, malah beliau pernah menghasilkan kitab dan risalah mengenai soal kerohaniaan. Sekembalinya dari Makkah , Tukku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga,Terengganu. Langkah awal itu diikuti kegiatan lebih mencabar dalam bidang pentadbiran , pemerintahan dan penentangan penjajahan British. Selain memainkan peranan penting untuk menentang British , beliau diamanahkan Sultan Zainal Abidin mentadbir kawasan Paloh disamping mengawasi daerah Hulu Terengganu, termasuk Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang,Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Idrus, menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali dengan nama Budak Raja. Pasukan Budak Raja itu bertanggungjawab menjaga keamanan seperti tugas yang dipikul oleh pasukan polis hari ini.

Untuk memastikan keselamatan kebajikan masyarakat setempat,cacatan sejarah menyatakan Tukku gemar keluar pada malam hari,malah pada hari tertentu beliau keluar dengan berselubung Kain di kepala. Tindakannya itu untuk memudahkan beliau meninjau kehidupan masyarakat ddan sekiranya ada perkara tidak baik berlaku, Tukku Paloh memerintah Budak Raja untuk membuat tangkapan pada keesokan hari. Sikap dan keprihatinanya itu memperlihatkan tanggungjawab Tukku Paloh terhadap keselamatan nak buah seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra. Selain gemar keluar pada waktu malam, beliau juga mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh yang diberikan mandat oleh sultan untuk menyelesaikan persoalan besar serta mengadili penjahat di kawasa pentadbirannya.

Dalam kehidupannya, Tukku Paloh lebih banyak berhubung secara peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III berbanding perhubungan resmi. Hubungan erat itu terbukti apabila salah seorang isteri Tukku Paloh, Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin sendiri. Sultan berkenaan juga menyerahkan anaknya, Tengku Sulaiman, kepada Tukku Paloh untuk dijadikan anak angkat serta diberi didikan agama.

Tengku Sulaiman kemudian menjadi Sultan Terengganu ke 13 yang memerintah dari 1920 hingga 1942. Selepas jatuh sakit, pada 1917 ketika berusia 100 tahun, Tukku Paloh menghembuskan nafas terakhir diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun kemudian.

sumber :
Metro Ahad 28 Mei 2000 dan 4 Jun 2000
koleksi Terengganu PPAT

Kenali Terengganu lebih mendalam...

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi5nwT_Y13jCAHjVVb-LdohJGpHqNGNNi6Kn9TeXIZZRDNP_KrWTVtPhxtlzPOcO8B4oxtQbrlGIkC2bHghTuCL32R9RTdg1TfSjY9DlJJ8bZgGIMhDUkqwlBeDeedOr67Yt_p1QIiSxIk/s212/brand.gif
 
Negeri Terengganu yang terletak di timurlaut Semenanjung Malaysia mempunyai kawasan seluas 13,000 kilometer persegi, menganjur dari kawasan pergunungan di barat hingga ke persisiran pantai yang menghadap ke Laut China Selatan. Ia mengalami iklim tropika dengan suhu purata 27 C.
Penduduknya yang berjumlah 752,000 orang sebahagian besar terdiri daripada kaum Melayu, manakala China dan India merupakan golongan minoriti. Ianya penuh dengan panorama yang cantik dan kaya dengan kebudayaan. Kesenian tempatan dan kebudayaan yang diamalkan oleh penduduknya telah menjadikan negeri ini mempunyai gaya dan identitinya yang tersendiri.
Ibu negeri Terengganu yang sedang berkembang pesat merupakan tempat yang paling baik untuk anda memulakan pengembaraan di negeri yang indah ini. Terletak di muara Sungai Terengganu, Kuala Terengganu dihiasi dengan pantai yang indah dan menganjur ke semua arah serta memiliki bangunan yang berbagai bentuk. Bermula dengan sebuah bandar kecil bagi nelayan, ibu negeri ini berkembang pesat sebaik sahaja terjumpanya sumber minyak di kawasan pantai beberapa tahun lalu. Anda akan menyaksikan suasana yang berbeza antara pencapaian moden dengan perkembangan nilai-nilai Islam berciri tradisional seperti Masjid Negeri Zainal Abidin.
Hutan semulajadi Terengganu merupakan salah satu dari kawasan Taman Negara yang berusia kira-kira 130 juta tahun. Hutan yang menjadi habitat berbagai spesis flora dan fauna ini menjadi satu daya tarikan kepada peminat alam semulajadi. Pengembaraan di sini akan menjadi pengalaman yang sungguh menarik dengan merasai kesegaran udara hutan yang nyaman, dihiburkan pula oleh siulan burung-burung.
Dengan suasana yang tenang dan keadaan hutan hujan yang segar, pemandangan di Sekayu yang memiliki tujuh peringkat aliran air terjun bukan sahaja indah malah menjadi satu khazanah alam semulajadi. Airnya yang sejuk mengalir menjadikannya satu tarikan yang tak mungkin dilepaskan dan nikmatilah cabaran keasyikan di hutan malar hijau tropika.
Sebagai bangunan yang mempunyai rekabentuk yang sangat menarik, Istana Maziah bukan hanya sebagai tempat upacara perkahwinan dan sambutan keputeraan Diraja, penganugerahan darjah kebesaran dan menyambut tetamu khas, malah ianya juga menjadi daya tarikan kebudayaan. Istana Maziah terletak berhampiran dengan Bukit Puteri. Terdapat juga padang golf di Terengganu sebagai satu acara sukan yang sungguh mencabar.
Pulau-pulau dan pantai Terengganu sudah semestinya untuk anda kunjungi kerana pasir pantainya putih berseri, kepanasan cahaya matahari yang menyinar dan keadaan langitnya yang membiru. Di pantai inilah anda akan mengalami keindahan terumbu persisiran dan kepelbagaian hidupan laut. Yang pasti, ianya menjanjikan kepuasan kepada para penyelam.
Dikenali sebagai tasik buatan yang tertinggi dan terpanjang di Asia Tenggara . Empangan Kenyir menawarkan pemandangan saujana kepada lebih 300 buah pulau di sekitarnya. Dengan keluasan kawasan berairnya 369 kilometer persegi, ianya menjadi daya tarikan kepada aktiviti memancing dan bersampan, malah merupakan rempat riadah yang jauh dari kesibukan kota.
Selain dari tempat tumpuan penyu bertelur, Pantai Rantau Abang juga terkenal dengan keindahan semulajadi. Lambaian daun kelapa di persisiran pantai, pasir yang memutih, laut yang tenang untuk menyamankan anda. Panorama yang pasti mengkagumkan anda.Pantai Batu Buruk ialah salah sebuah tempat yang paling popular di Kuala Terengganu. Pangkalan Budaya sebagai pusat kesenian Negeri Terengganu terletak di pantai Batu Buruk ini. Di sini anda akan berpeluang menyaksikan berbagai aspek kesenian Negeri Terengganu yang mempesonakan seperti seni silat, tarian tradisional dan kesenian permainan masyarakat Melayu di masa lapang setiap hujung minggu.
Jambatan SultanMahmud di Terengganu adalah jambatan moden yang digabungkan dengan rekabentuk tradisional. Ianya terletak di bandar yang kecil tetapi mempunyai perancangan yang menarik. Jambatan ini merentangi Sungai Terengganu dan tiga buah pulau yang menjadikannnya jambatan yang kedua panjang di Malaysia.
Suterasemai di Chendering, yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bndar Kuala Terengganu merupakan pusat perintis bagi tenunan sutera di Malaysia. Di sini sutera lukisan tangan dan rekabentuk batik digabungkan untuk menghasilkan sutera emas. Hasilny terbentuklah bahan sutera yang sangat indah dan bermutu termasuk pakaian wanita dan batik.
Selamilah sendiri sejarah Negeri Terengganu di Muzium Negeri yang terletak di Kampung Losong. Kesan-kesan sejarah lama yang sungguh menakjubkan akan menggambarkan keadaan silam yang mengkagumkan. Dan semua pameran ini melambangkan kekayaan Negeri Terengganu secara tersendiri.
Industri-industri moden di Terengganu seperti pengeluaran toksid dan besi keluli bilet telah menyediakan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada sejumlah penduduk di negeri ini. Selain dari industri moden ini, Terengganu juga terkenal dengan industri pembuatan bot dan menangkap ikan secara tradisional.


Fakta geografi...

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu sekarang adalah kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman).

Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu. Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam - Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut. Kemudiannya pada 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadi daerah ketujuh di negeri Terengganu.

Tiap-tiap daerah ini ditadbirkan oleh Pegawai Daerah.

Keluasan daerah tersebut :-




Kuala Terengganu - 60,654.3 hektar
Kemaman - 253,559.9 hektar
Dungun - 273,503.1 hektar
Marang - 66,654.3 hektar
Hulu Terengganu - 387,462.6 hektar
Setiu - 130,436.3 hektar
Besut - 123,367.8 hektar


Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942.

Pada tahun 1963 berjumlah 339,816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlahnya terus meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini ( 1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.


Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.

*Sumber dari
1.http://www.trglib.gov.my
2. http://www.terengganu.gov.my/

Sejarah Pemerintahan Terengganu...

Anda mungkin ingin mengetahui lebih dekat tentang sejarah awal Negeri Terengganu. Terengganu merupakan antara negeri yang terawal dalam era kedatangan manusia di semenanjung Malaysia. Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.

"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.

Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).
Istana Maziah.
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.

Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).
Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Image
Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.

Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.



* Sumber dari;
1. Wikipedia

Hari Keputeraan DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong Malaysia,


Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!...

Begitulah sembah rakyat kepada DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong....
Disini saya sebagai rakyat Terengganu ingin berkongsi serba sedikit tentang Hari yang bersejarah ini.Hari Keputeraan DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong Malaysia, Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (22 Januari 1962 -). Baginda adalah Sultan Terengganu yang ke-16. Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, ketua perlembagaan Malaysia mulai 13 Disember 2006.

Baginda telah dilahirkan pada 22 Januari, 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di luar negara di pusat pendidikan berprestij iaitu Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Pada tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di U.S. International University-Europe di London, memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.

Baginda telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah dikomisyenkan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah memberikan khidmatnya di Askar Berkuda DiRaja.

Tak Kenal Maka Tak Cinta.. cerita 2

Tak kenal maka tak cinta... itulah pepatah melayu yang selalu diungkap bila kita ingin menarik minat seseorang pada sesuatu perkara...

Begitu juga dengan Negeri Terengganu... Mungkin ramai yang belum mengenali Negeri Terengganu dari sudut sejarahnya...

Kali ini, kami akan selitkan serba sedikit lata belakang negeri Terengganu.

Menurut cerita yang dikatakan dapat didengar daripada Marhum Baginda (Sultan Umar, Sultan Terengganu yang ke sembilan memerintah 1839-1875, kononnya pada zaman dahulukala sebelum negeri ini dikenali dengan Terengganu, ada suatu rombongan dari negeri Pahang mengembara di sebelah Ulu Terengganu kerana memburu. Apabila angkatan itu sampai ke sungai Terengganu Mati, seorang daripadanya ada berjumpa sebatang taring, kata seorang di antara mereka; "Taring apakah?, jawab seorang lain " Taring anu…" kerana tidak ingat hendak menyebut namanya, dan kisah perbualan antara mereka habis begitu sahaja.
Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu ada berjumpa pula dengan seekor rusa dan dapat dibunuhnya.
Apabila orang-orang yang berjumpa rusa itu membawa balik perburuannya ke tempat perhentian mereka, maka bertanyalah masing-masing "di manakan dapat rusa itu? Jawab mereka yang berburu " di tempat taring anu".
Ada pula di antara kumpulan itu berjumpa kayu gaharu, apabila ditanya; jawabnya di tepi sungai taring anu", lama kelamaan lekatlah dipanggil nama"Terengganu".
Penulis ada juga mendengar cerita-cerita lain menyebabkan dinamakan "Terengganu". Seumpama cerita yang menyatakan asalnya daripada "Terang-nya-ganu"dan "terangnya anu" dan ada pula cerita yang menyatakan menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan"cahaya kilat yang memancar, di kaki langit" kejadian itu berlaku pada suatu malam kononya ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan, kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang di angkasa langit berhadapan dengan mereka disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat sebagai petir membelah bukit, sinar cahayanya terang-benderang itu sampai ke Kuala Terengganu, oleh kerana hendak memperingati had sempadan terangnya cahaya yang ganjil itu maka dinamakan tempat itu "Terang Ganu" kemudian manakala sudah menjadi negeri, dinamakan negeri itu "Negeri Terengganu" (terang hingga ke sana). Sama ada cerita ini benar atau tidak, belumlah dapat penyusun mengesah-kannya.

Menurut cerita yang dikemukakan oleh Dato' Kamal Wangsa Jafar bin Mampak seperti berikut pula: "Ada satu taring yang besar tidak sampai gading gajah tetapi lebih besar dari taring-taring binatang liar yang didapati di sebuah pulau yang berhampiran dengan kuala sungai iaitu Pulau Duyong.
Kerana berlainan sangat rupa taring itu, maka ketua pulau itu pun menyembahkan taring tersebut kepada Raja. Apabila Raja bertanyakan taring apa itu, dengan tergesa-gesa mereka menyembahkan "Taring anu Tuanku".

Oleh kerana pulau itu di seberang sungai Terengganu yang berhampiran dengan kualanya, maka sungai itu pun dipanggil orang sungai "Taring Anu" hingga orang-orangnya pergi ke hulu sungai pun memanggilnya sungai Taring Anu.
Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu(Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang " Ular Mayang" orang Kelantan kata "Pelangi".
Mereka pun bertanya : Di sini orang panggil apa?
Jawab orang negeri ini: "Kami panggil ganu".
Kata mereka:"terang sungguh ganu di sini".

Apabila mereka itu balik ke Kelantan, mereka pun bercerita "Negeri jiran kita bukan main terang ganu di sana serta diterangnya erti ganu itu.
Suatu kemungkinan mengenai nama Terengganu terbit dari nama sungai "Terengan timbulnya pendapat ini, setelah penulis dan rombongan Persatuan Sejarah Cawangan Terengganu, membuat lawatan ke kawasan itu pada 5 hingga 11hb. Julai 1975 serta memerhati keadaan di sekelilingnya dan letak pecahan sungai itu.
Muara sungai Terengan berpecah dua, sebelah kanan mudik menghala ke sungai Kerabat dan di sebelah kirinya Kuala Terengan dan sungai Terengganu. Terengan pada masa dahulu telah menjadi sebuah kampong di Ulu Terengganu, jaraknya dari Kuala Terengganu Mati lebih kurang 24 km atau 40 km dari Kuala Berang mengikut sungai.
Oleh kerana keadaan pecahan anak sungai sedemikian kemungkinan pada zaman dahulu orang ada bertanya dengan soalan ini: hendak ke mana? Ke Terengan…nu (sana) atau ke Terengan…ni (ini) bererti ke sungai Terengan atau ke sungai Kerbat.
Ataupun terbit dari sebutan panggilan atau pertanyaan dari penduduk-penduduk asli yang datang atau mengembara dari sebelah jalan Ulu Pahang atau Ulu kelantan yang sampai ke pecahan Ulu Sungai Terengan itu, lalu mereka pun bertanya : Ke mana hendak pergi atau hendak tuju? Ke Terengan ni atau ke Terengan….nu.
Adalah dikatakan menurut pendapat ahli-ahli kajibumi yang melawat ke sebelah Ulu Terengganu, bahawa di bahagian Ulu itu asalnya boleh dikatakan laut atau sungai besar dengan berpandukan kepada kesan-kesan dan tanda-tanda yang dijumpai, maka haruslah keadaan itu kembali masanya beribu-ribu tahun dahulu.
Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal, hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi, lahir di negeri Mesir. P) yang dipercayai diperbuat di Iskandariah ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole" Maka pelabuhan "Perimula itu dipercayai ialah "Kuala Sungai Terengganu" dan pelabuhan "Kole" ialah "Kemaman".
Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".
Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "TING CHIA HSIA LU"(Teng Ka Ha Lo di dalam bahasa Hokkein) dan TING KA HA LOU"dalam bahasa Kantonis. Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang kelima belas ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, Negeri Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Petani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.
Di dalam syair jawa yang bernama"Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu).
Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang.
Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M ada menyebut beberapa nama di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou,Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo, nama-nama bagi Negeri Terengganu. Kemungkinan boleh berlaku juga, Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan"Terenggani" dari bahasa Tamil bererti 'Tanah Berbukit', dan nama itu diberi oleh pelawat India yang mungkin sampai di Terengganu pada zaman dahulu kala ,kerana dilihatnya negeri ini di sepanjang pantainya dari laut banyak berbukit.
Batu bersurat yang dijumpai di kampong Buloh, Kuala Berang, kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1891M) ejaannya "Terkanu".
Maka di antara nama-nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu digelar"Darul-Iman" tidaklah dapat penyusun menentukan dengan sah, tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar(Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus-Salam".
Petikan : Sejarah Darul Iman
Oleh : Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)





 

Jumlah Pelawat

Penyumbang

Urusetia Pertandingan

Ramalan Cuaca Hari Ini

Peta Terengganu

.: i Luv Terengganu :. Hak Cipta© 2009 Oleh Admin :: Nor Azwari ::
PENAFIAN : Admin tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini