Masyarakat Cina juga tidak ketinggalan berniaga di bazar Ramadhan

Ang Cher Koon sibuk melayan pelanggan yang ingin membeli air soya 
di bazar ramadhan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.


Bazar Ramadan pastinya menjadi tarikan utama setiap kali tiba bulan puasa kerana pelbagai juadah boleh diperolehi daripada kuih-muih sehingga nasi dan lauk-pauk.
Oleh itu, tidak hairanlah bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan kaum Melayu, malah Cina dan India untuk mendapatkan makanan kegemaran mereka.
Lazimnya, bazar Ramadan pasti menjadi tumpuan kaum Melayu berniaga dengan pelbagai menu dan juadah makanan, namun di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar dekat sini, sebuah keluarga Cina turut mengambil kesempatan mencari rezeki.
Menjelang petang, keluarga itu tidak menang tangan melayan pelanggan yang singgah di gerainya yang menjual air dan pati soya.
Pemiliknya, Ang Cher Koon, 52, yang berasal dari Kampung Tiong berkata, dia yang dibantu kakak dan anak perempuannya tidak pernah melepaskan peluang berniaga di bazar Ramadan setiap tahun.
Katanya, ia dilakukan sejak puluhan tahun dahulu apabila sering mengikut ayahnya menjual air soya di bazar Ramadan sebelum ini.
Tambahnya, setiap hari seawal pukul 8 pagi, dia mula menyiapkan bahan-bahan untuk menghasilkan air dan pati soya untuk dijual di bazar itu.
"Setiap hari saya perlu menyediakan kira-kira 30 kilogram soya untuk diproses menjadi air dan pati untuk memenuhi permintaan pelanggan sebanyak 300 hingga 400 gelas sehari," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Cher Koon menjelaskan, perniagaan keluarga itu dijalankan sejak 1968 dan sehingga kini air dan pati soya buatan keluarganya masih dikenali dan diminati.
Katanya, jika tidak berniaga di bazar Ramadan, kebiasaannya dia akan berniaga di Taman Selera Kampung Tiong dekat sini.
Pada Ramadan ini, katanya, dia gembira kerana anaknya dapat membantu dia berniaga memandangkan setiap hari dia pasti tidak menang tangan melayan pelanggan.
"Setiap tahun anak saya akan pulang dari tempat belajarnya dan akan membantu saya selain kakak turut membantu sama.
"Setiap hari, air dan pati soya akan habis dijual dan apa yang penting air dan pati soya untuk dijual esok adalah segar kerana saya tidak akan menjual soya yang tidak habis," jelasnya.
Ditanya mengenai resipi soya berkenaan, dia hanya tersenyum dan memberitahu, hanya menggunakan jumlah soya yang banyak bagi memastikan rasa soya itu asli dan tidak ditambah perasa lain.
"Kalau nak buat soya jadi sedap, jangan kedekut kacang soya baru, pati pekat dan manis," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia





 

Jumlah Pelawat

Penyumbang

Urusetia Pertandingan

Ramalan Cuaca Hari Ini

Peta Terengganu

.: i Luv Terengganu :. Hak Cipta© 2009 Oleh Admin :: Nor Azwari ::
PENAFIAN : Admin tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini