Ulek Mayang sejenis tarian pemujaan di zaman dahulu...

 
Tarian Ulek Mayang sangat terkenal di Terengganu suatu masa dahulu...



Tarian Ulek Mayang sejenis tarian yang berunsurkan pemujaan. Dipercayai telah wujud pada zaman pemerintahan Sultan Umar.

Seni budaya ini dianggap sebagai satu khazanah budaya Terengganu yang cuba dipertahankan sehingga kini. Adalah difahamkan tarian ini merupakan satu permainan tradisi masyarakat melayu Terengganu yang tinggal di persisiran pantai negeri Terengganu. Ia juga dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa.

Ulit atau ulek adalah merujuk kepada berdondang atau mengulit-ngulit yang membawa makna menyeru-nyeru dengan nada memujuk-mujuk supaya kembali semula dan datang semula merujuk kepada makhluk halus.

Ditarikan secara beramai-ramai antara 10 hingga 15 orang dalam bentuk bulatan untuk memuja Tuan Puteri Tujuh beradik. Ia biasanya diadakan pada waktu malam.

Mayang pinang digunakan oleh ketua pemujanya dalam keadaan bersila di tengah-tengah bulatan sambil menyanyi lagu antara lain senikatanya berbunyi:


Umbuk mayang diumbuk
Umbuk dengan jala jemala
Sambut dayang kusambut
Sambut dengan puteri ngesa

Puteri ngesa berkain serong
Puteri ngesa berbaju hijau
Puteri ngesa bersubang gading
Puteri ngesa bersanggol sendeng
( rangkap pertama di atas kemudian diulang dengan puteri dua dan seterusnya hingga puteri tujuh )


Mayang yang digunakan diasap kemeyan di dalam bekas bara api yang dinamakan Dupa untuk membangkit semangat dan asal mayang. Minyak kelapa juga disapukan pada mayang ketika diperasapkan supaya mayang itu kelihatan segar ketika diulit. Mayang hidup dapat dikesan apabila berlaku getaran pada Adi ( ketua pemuja ) yang seolah-olah kelihatan mayang tersebut bergetar dengan sendirinya. Ini akan membawa Adi atau pemegang mayang ke dalam situasi tidak sedarkan diri atau lupa.

Menceritakan tentang tempat tinggal di kawasan perumahan

Ruangan ini dibuka bagi membolehkan mereka yang tinggal di kawasan perumahan 
berkongsi cerita seperti, kecantikan perumahan, langskap, persekitaran, rukun tetangga dan lain-lain lagi.

Kelebihan ruangan ini boleh dilihat dari segi;
  1. Memperkenalkan tempat kediaman kita
  2. Berkongsi idea dari sudut langskap dan sebagainya.
  3. Mengetahui isu-isu berkaitan dengan taman perumahan.
  4. Sebagai hebahan kepada program-program yang dilaksanakan..

Tokku Paloh Tokoh Ulama terkenal di Terengganu...

 
Disinilah Makam Tukku Paloh, Ulama besar Terengganu pada suatu masa dahulu..



Pada abad ke-19,seorang ulama besar di kenali Tukku Paloh yang dilahirkan di Terengganu pernah membantu negeri berkenaan menghalang penjajahan British.Nama sebenarnya,Sayid Abdul Rahman bin Muhamad al-Idrus yang juga dianggap ulama kerohanian yang banyak berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu.

Dengan ketegasan dan kepintaranya dalam hal ehwal diplomatik,Tukku Paloh sering diberi peluang mewakili sultan dalam perundingan dengan British hingga kerajaan Inggeris gagal menawan Terengganu. Dalam suatu kisah,beliau dilaporkan berkata ‘Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami,saya tolak walau atas alasan apa sekali pun tetapi kalau hendak tanah, silakan. Isilah kedalam kapal tuan sebanyak mana pihak British mahu…..ambillah tanah.’ Itu adalah antara jawapan Tukku Paloh kepada wakil British ketika perundingan antara British dengan kerajaan Terengganu yang diwakilinya. Jawapan berbentuk sindiran itu diluahkan dengan tenang tetapi nyata menyakitkan hati wakil British berkenaan. Mereka lantas bangun untuk beredar tetapi dengan kuasa Allah punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi.

Apabila mereka mengangkat punggung,kerusi mereka turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Ketika itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja ‘Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil.’

Tukku Paloh yang hidup dalam zaman pemerintahan lapan sultan silih berganti dan pengaruhnya yang paling kuat ialah ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu ke 11. Dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, beliau adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W di kalangan keluarga al-Idrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein ra, anak Sayidatina Fatimah az-Zahrah ra binti Rasulullah. Tukku Paloh yang diterima sebagai penasihat pertama dan utama sultan dalam pelbagai hal itu mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa ulama tempatan sebelum mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengetahuan di Makkah.

ULAMA besar itu bukan saja arif dalam ilmu tasawuf dan tereqat, malah beliau pernah menghasilkan kitab dan risalah mengenai soal kerohaniaan. Sekembalinya dari Makkah , Tukku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga,Terengganu. Langkah awal itu diikuti kegiatan lebih mencabar dalam bidang pentadbiran , pemerintahan dan penentangan penjajahan British. Selain memainkan peranan penting untuk menentang British , beliau diamanahkan Sultan Zainal Abidin mentadbir kawasan Paloh disamping mengawasi daerah Hulu Terengganu, termasuk Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang,Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Idrus, menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali dengan nama Budak Raja. Pasukan Budak Raja itu bertanggungjawab menjaga keamanan seperti tugas yang dipikul oleh pasukan polis hari ini.

Untuk memastikan keselamatan kebajikan masyarakat setempat,cacatan sejarah menyatakan Tukku gemar keluar pada malam hari,malah pada hari tertentu beliau keluar dengan berselubung Kain di kepala. Tindakannya itu untuk memudahkan beliau meninjau kehidupan masyarakat ddan sekiranya ada perkara tidak baik berlaku, Tukku Paloh memerintah Budak Raja untuk membuat tangkapan pada keesokan hari. Sikap dan keprihatinanya itu memperlihatkan tanggungjawab Tukku Paloh terhadap keselamatan nak buah seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra. Selain gemar keluar pada waktu malam, beliau juga mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh yang diberikan mandat oleh sultan untuk menyelesaikan persoalan besar serta mengadili penjahat di kawasa pentadbirannya.

Dalam kehidupannya, Tukku Paloh lebih banyak berhubung secara peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III berbanding perhubungan resmi. Hubungan erat itu terbukti apabila salah seorang isteri Tukku Paloh, Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin sendiri. Sultan berkenaan juga menyerahkan anaknya, Tengku Sulaiman, kepada Tukku Paloh untuk dijadikan anak angkat serta diberi didikan agama.

Tengku Sulaiman kemudian menjadi Sultan Terengganu ke 13 yang memerintah dari 1920 hingga 1942. Selepas jatuh sakit, pada 1917 ketika berusia 100 tahun, Tukku Paloh menghembuskan nafas terakhir diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun kemudian.

sumber :
Metro Ahad 28 Mei 2000 dan 4 Jun 2000
koleksi Terengganu PPAT

Pelajar sekolah rendah mendapat e-book...


Murid Sekolah Kebangsaan Duyung, Kuala Terengganu, adik Abdul Syuaib Zahari, 11, menunjukkan e-Book kepada bapa saudaranya, Ismail @ Mohd Chitab Othman, 62, yang bekerja sebagai nelayan selepas majlis pengagihan e-Book oleh Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu merupakan yang pertama di Asia Tenggara menggunakan e-Book kepada pelajar-pelajar sekolah rendah, demikian diberitahu oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Beliau memberitahu, Naib Presiden Intel Corporation, John E.Davies yang menemuinya baru-baru ini menyifatkan negeri ini setaraf ke hadapan dengan negara-negara maju yang menggunakan kemudahan komputer dalam pembelajaran, khususnya e-Book.


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada pelajar sekolah dalam kawasan DUN Manir.
“Pengiktirafan itu adalah suatu bukti bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri suatu pendekatan yang jauh ke hadapan dalam bidang pendidikan dan pelajaran yang disesuaikan dengan budaya dan acuan kita sendiri,’ katanya di majlis penyampaian e-Book dan bantauan pakaian sekolah, Parlimen Hulu Terengganu, di Dewan Komuniti Manir semalam (1 Jun).

Dalam majlis itu sebanyak 411 murid-murid Than Lima dari enam buah sekolah di Parlimen tersebut menerima e-Book percuma dari kerajaan negeri yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Ahmad kepada setiap orang murid bersama ibu bapa masing-masing.


Terlalu gembira selepas mempelorehi e-Book daripada Menteri Besar, adik Muhammad Syazwan,11, dari Sekolah Durian Mas, Manir, terus ke bendang untuk menunjukkan e-Book kepada ayahnya, Mohd Sulong, 48, yang berkerja sebagai petani.

Dato’ Ahmad berkata, pemberian itu kepada semua murid tanpa mengira fahaman politik keluarga mereka kerana sebagai soal pendidikan adalah soal penting dan masa depan mereka mengatasi kepentingan politik kepartian.

“Apa yang penting ialah rakyat keseluruhan, sama ada miskin atau kaya mendapat peluang pendidikan terkini dan itulah sebenarnya pendemokrasian pendidikan di negara kita pada masa ini,’ katanya.


Majlis pengagihkan e-Book kepada pelajar DUN Bukit Tunggal di Pulau Duyung.

Beliau kesal sesetengah pihak yang menuduh kononnya sistem pendidikan di negara ini sekular dan tidak selari dengan kehendak agama Islam tanpa memahami konsep ilmu dan pembelajaran sebenar dalam Islam yang menyeluruh sifatnya, termasuk untuk keperluan dunia dan akhirat.

Katanya, Nabi Muhamad sendiri semasa hayatnya pernah meminta umat Islam menuntut ilmu sehingga ke negara China, sebagai bukti menunjukkan bahawa tidak salah belajar ilmu yang berkaitan hal ehwal dunia dan moden kerana waktu itu negara China cemerlang dari segi ilmu pembuatan kertas, binaan dan perniagaan.


Murid kembar turut menerima e-Book.

Beliau juga memberi tahu penggunaan e-Book bukan sekadar salinan kepada sukatan buku teks semata-mata, tetapi melaluinya akan diwujudkan kelas-kelas maya, tutorial dan peperiksaan secara online yang akan dikawal secara terus oleh guru-guru yang juga menggunakan komputer sebagai alat dan sistem dalam pembelajaran.

“Bahkan di dalam e-Book juga dimasukkan program berkaitan keagamaan seperti panduan sembahyang, al-Quran dan tafsir, panduan mengurus jenazah dan doa-doa harian,” katanya.


Menteri Besar melihat murid menggunakan e-Book.

Beliau berharap guru-guru dan ibubapa menerima perubahan ini secara positif kerana kita perlu menyediakan generasi yang membudayakan teknologi maklumat (ICT) apabila dunia akan datang semuanya berasaskan ICT sama ada dalam ekonomi, perbankan, perubatan dan segala-galanya berteraskan penggunaan teknologi itu.

Dato’ Ahmad meminta supaya e-Book yang diberikan secara percuma itu dijaga dengan baik dan diawasi agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain yang tidak mendatangkan faedah.

Katanya sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan membaiki kerosakan e-Book serta melantik pegawai teknikal yang bertugas supaya tidak menimbulkan masalah dalam penggunaan e-Book.

Beliau menjangkakan e-Book itu boleh digunakan pula sehingga ke tingkatan satu, setelah murid-murid yang memperolehi e-Book ini meneruskan pelajaran mereka ke peringkat menengah.

Katanya, pada bulan Julai depan murid-murid Tahun Empat pula akan diberi e-Book percuma sebagaimana perancangan di bawah peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pembelian e-Book oleh kerajaan negeri pada tahun ini.


Pasangan kembar dari sekolah DUN Bukit Tunggal gembira menerima e-Book.

“Manakala pada tahun hadapan, kerajaan negeri bercadang untuk memberi juga e-Book kepada murid Tahun Dua dan Tiga supaya pembelajaran e-Book bermula di peringkat awal lagi,” katanya.

Sementara itu semasa berucap di majlis yang sama di Duyong bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal, beliau berkata, hasrat kerajaan negeri ialah supaya setiap rumah di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya satu komputer.

Di majlis itu seramai 359 murid dari tiga buah sekolah menerima bantuan e-Book . Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Sumber : Akhbar teganukita





 

Jumlah Pelawat

Penyumbang

Urusetia Pertandingan

Ramalan Cuaca Hari Ini

Peta Terengganu

.: i Luv Terengganu :. Hak Cipta© 2009 Oleh Admin :: Nor Azwari ::
PENAFIAN : Admin tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini